terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar

terimalah hambu mu ini Ya Allah Hu Akbar
aku nak jadi hamba Allah yang bertaqwa kepada Nya

Thursday, October 30, 2008

sapa kutuk aku dalam cerpen neh aduit

Matahari di atas sejadah

Oleh S.M. ZAKIR


Namanya Mohd. Nor Izwan. Tetapi selalunya mereka memanggilnya Mat Nor. Ada juga yang memanggilnya Izwan. Tetapi Mat Nor tidak berapa suka dipanggil Izwan. Bunyinya manja sangat. Mat Nor tidak suka bunyi yang manja-manja atau lembik-lembik. Umurnya baru 11 tahun.

Dalam umur sedemikian Mat Nor tidak memikirkan banyak perkara kecuali bersekolah, menyiapkan kerja sekolah, mengaji dan bermain.

Tetapi apa yang paling menyeronokkan bagi Mat Nor ialah bermain. Macam-macam permainan dimainkan oleh Mat Nor dan teman-temannya. Selalunya mereka diajar oleh budak-budak yang lebih besar. Di sekolah mereka bermain bola sepak dan kejar-kejar. Di rumah selain bola sepak, kejar-kejar mereka bermain tembak senapang getah.

Getah yang diikat di hujung kayu diregang terik pada peluru buah beluru atau kertas yang dilipat macam boomerang. Kalau kena dalam jarak dekat keluar juga air mata. Selalu juga mereka bertumbuk akibat main perang-perang ini. Kerapnya Mat Nor bertumbuk dengan Budin. Apabila seorang bertumbuk yang lain pun ikut bertumbuk juga. Sudahnya mereka bertumbuk beramairamai.

Di kantin, di kaki lima sekolah, Mat Nor tidak kira. Pinjam buku Badrul, salin sahaja. Badrul membebel tetapi Mat Nor tidak peduli. Macam mana pun Badrul budak baik dengan rambut licin berminyak belah tepi seperti profesor itu terpaksa juga memberi pinjam bukunya untuk ditiru oleh Mat Nor. Badrul budak baik. Bukunya selalu dipinjam oleh rakan-rakan untuk ditiru.

Mat Nor tidak peduli sangat. Yang penting kerja rumah siap. Tidak sanggup Mat Nor menghadapi Cikgu Zubaidah yang garang dan bermulut lancang itu. Apatah lagi Cikgu Seman yang bertubuh besar dan suka mengetuk buku lima dengan pembaris itu. Cuma Cikgu Ana sahaja yang Mat Nor dan pelajar-pelajar tidak takut. Cikgu Ana lembut dan baik. Jika murid-murid bising dan tidak terkawal, Cikgu Ana akan menangis. Paling tidak tahan, perangai Mat Yamin dan Bujal.

Balik sekolah selepas makan nasi, Mat Nor akan ke sekolah agama. Sekali lagi Badrul akan dicari oleh Mat Nor. Habis kerja rumah Badrul disalinnya. Habis sekolah agama, Mat Nor lompat keluar di tengah terik matahari petang bermain lagi. Selalunya ke alur air mencari ikan laga. Dalam hidup Mat Nor cuma kata ibu bapanya sahaja yang didengarnya.

Lain tidak. Kata-kata cikgu selalu masuk telinga kanan keluar telinga kiri sahaja. Kata-kata abangnya Tamrin lagilah tidak didengarnya. Tamrin pun bukan baik dan cerdik sangat. Selalu ponteng sekolah dan menyakat orang di hujung wakaf. Kawan-kawan Tamrin pun sama, kutu jalan. Itulah sebabnya Mat Nor tidak dengar sangat kata Tamrin yang berlagak macam raja mengarahnya itu dan ini.

Tamrin pandai berlakon. Di rumah di hadapan ibu dan ayah, berlagak macam budak pandai, mengajar Mat Nor macammacam. Kononnya cerdik sangat, sedangkan Mat Nor tahu Tamrin selalu corot dalam kelas. Bulan puasa Tamrin tidak puasa, tetapi balik rumah pura-pura letih dan tidak malu-malu berbuka sekali. Mat Nor lepas mulut sahaja, mengadu kepada ibu dan ayah Tamrin tidak puasa.

Berbirat belakang Tamrin dirotan ayah. Sudahnya mata Mat Nor lebam ditumbuk Tamrin. Selalu benar mereka bertumbuk sebab Tamrin memang suka membuli. Mat Nor tidak takut sangat dengan Tamrin. Umur mereka pun bukan jauh beza. Tamrin tingkatan dua, Mat Nor darjah lima. Tamrin kurus tinggi, Mat Nor pendek gempal. Kalau bertumbuk tentu tangan Tamrin yang sampai dahulu tetapi kalau bergusti atau bergumpal sesak juga nafas Tamrin dihempap Mat Nor.

Tetapi dalam kehidupan Tamrin dan Mat Nor, selain ibu dan ayah ada seorang lagi manusia yang sangat dihormati oleh mereka. Ustaz Nik. Mat Nor dan Tamrin hanya tahu namanya Ustaz Nik. Mereka mengaji dengan Ustaz Nik di surau. Khabarnya Ustaz Nik belajar di tanah Arab. Ilmu agamanya tinggi. Di daerah tempat tinggal mereka yang letak tidak jauh dari bandar ini, Ustaz Nik tinggal dengan kakaknya. Ustaz Nik muda lagi dan masih belum berkahwin, umurnya dalam lingkungan pertengahan dua puluhan sahaja. Ustaz Nik tinggi kacak orangnya.

Berkulit putih kuning dan berwajah bersih ceria. Ustaz Nik senang tersenyum dan sangat baik hati. Ustaz Nik mengajar di sekolah agama tempat Tamrin dan Mat Nor belajar. Malamnya Ustaz Nik menghabiskan masanya di surau. Bukan sahaja menjadi muazin tetap di surau itu, Ustaz Nik juga acapkali menjadi imam terutamanya solat zuhur dan asar berganti dengan Haji Salleh dan Ustaz Aziz. Dalam pada itu Ustaz Nik selalu mengadakan kuliah subuh untuk budak-budak di daerah ini.

Di dalam daerah ini hanya Ustaz Nik seorang sahaja yang memanggil namanya Izwan. Walaupun Mat Nor tidak suka dipanggil begitu tetapi dengan Ustaz Nik entah mengapa bunyinya kedengaran begitu istimewa. Mat Nor akur sahaja kemudiannya dengan panggilan Ustaz Nik itu. Paling ganjil Tamrin. Sejahat-jahat Tamrin, yang suka melawan cikgu dan kuat memaki serta mencarut itu tiba-tiba sahaja menjadi diam, patuh serta akur apabila berada di hadapan Ustaz Nik.

Suatu hari Mat Nor melihat anjing bersama dengan anak-anaknya melalui jalan. Mat Nor cukup benci dengan anjing. Anjing binatang haram. Najis. Mat Nor pun ambil batu dan mula membaling. Anjing itu lari lintang-pukang. Anak-anak anjing itu pun lintang-pukang.

Segan

Mat Nor kejar dengan batu segenggam di tangannya. Mat Nor membaling, dan anjing itu berlengking-lengking apabila terkena batu yang dibaling oleh Mat Nor. Ibu anjing itu terlepas tetapi seekor anaknya dilihat Mat Nor tercungap-cungap lari bersembunyi di sebuah lubang di tanah tinggi itu. Mat Nor nampak badan anak anjing itu terlekat di lubang.

Apa lagi Mat Nor pun membaling bertubi-tubi mengenai badan anak anjing yang terlekat itu. Suara anak anjing itu melengking-lengking ke udara. Hari ini anjing ini mesti mampus. Mat Nor mengambil batu bulat sebesar penumbuk orang dewasa dan pergi dekat anak anjing tersebut. Mat Nor menghayun tangannya ke belakang siap untuk melontar kuat, tiba-tiba tangannya dipegang. Mat Nor hangat hati, kalau Mat Yamin atau Budin mengacaunya akan ditumbuknya. Kalau Tamrin pun dia tumbuk. Mat Nor berpaling berang, tiba-tiba hatinya cair, luntur. Ustaz Nik memegang tangannya lembut.

"Jangan buat macam tu, dia makhluk Tuhan macam kita juga." Suara Ustaz Nik membuat Mat Nor rasa begitu segan dan malu.

"Tapi dia anjing, najis dan haram."

Ustaz Nik geleng kepala kemudian pergi ke lubang tempat anak anjing itu tersepit. Ustaz Nik melilau mencari sesuatu, kemudian datang dengan plastik di tangannya. Ustaz Nik dengan tangan berlapik plastik kemudian menarik anak anjing itu keluar. Anak anjing yang setengah mati itu terjelir-jelir lidahnya. Kasihan pula Mat Nor melihat anak anjing itu.

“Macam mana kalau orang pisahkan Izwan dari ibu bapa Izwan?” Ustaz Nik melepaskan anak anjing itu. Tetapi anak anjing itu diam bingung tidak tahu hendak ke mana. Badannya habis berdarah. Ustaz Nik kemudian mengambil anak anjing itu dan meletakkannya di atas tanah tinggi, ibunya mungkin akan nampak dan datang mengambilnya. Jika tidak pun anak anjing boleh menyelinap ke dalam belukar dan kembali ke tempat ibunya.

Mat Nor diam.

“Jangan buat macam ni lagi ya Izwan. Balik bersihkan badan. Malam ni datang ke surau. Kita sembahyang jemaah.”

Mat Nor pusing dan berlari balik. Sambil itu Mat Nor membaling batunya ke arah semak belukar, untung-untung terkena kepala anjing itu. Tetapi batu itu hilang senyap begitu sahaja.

Itulah Ustaz Nik. Tidak pernah menyakitkan sesiapa bahkan tidak mahu melihat mana-mana makhluk Tuhan disakiti di hadapan matanya. Ustaz Nik mengajarkan bahawa Islam adalah agama yang cintakan kedamaian. Islam tidak membawa kesengsaraan kepada manusia mahupun haiwan sebaliknya membawa rahmat dan kebahagiaan untuk seluruh makhluk Tuhan.

Orang Islam wajib menjadi golongan di atas, iaitu membantu golongan lain tidak kira apa keturunan, bangsa atau agamanya. Islam adalah agama Allah. Agama yang turun dari langit. Bukan ciptaan atau kata-kata manusia. Dengan Islam yang syumul sahaja keamanan dan kesejahteraan umat manusia akan terpelihara. Bagaimanapun Islam tidak mencerca dan menghalang agama dan pegangan lain.

Mereka melihat Islam mempunyai umat yang paling ramai tetapi lemah. Dengan itu mereka ingin menjajah dan menguasai orang Islam. Mereka menipu dunia dengan menggambarkan umat Islam sebagai umat yang tidak bertamadun, jahat, mundur, suka membunuh dan merosakkan dunia yang bertamadun. Islam ditunjukkan sebagai sehina-hina manusia dan suka melakukan kejahatan terhadap orang lain.

Ini adalah fitnah yang paling besar terhadap Islam oleh golongan kafir dan musuh Islam pada zaman ini. Dengan itu umat Islam pada hari ini harus kembali bangkit menentang fitnah dan penjajahan ini sebagaimana Salehuddin Al-Ayubbi bangkit menentang angkatan Perang Salib yang pernah cuba menghapuskan Islam dahulunya. Umat Islam harus bangkit dengan semangat jihad yang berdiri di atas keunggulan tauhid bukan jihad yang palsu di atas jiwa yang penakut dan pengecut.

Kata-kata Ustaz Nik seperti meletup di dalam jiwa mereka. Tamrin menganggukangguk dengan penuh semangat. Mat Nor melihat Tamrin dengan jengkel.

Ustaz Nik dalam diam-diam diminati oleh ramai anak gadis daerah ini. Tetapi Ustaz Nik seorang yang sangat pemalu. Berjalan selalu menunduk dan mukanya akan merah menyala jika disapa oleh anak-anak gadis yang berselisih. Antara peminat Ustaz Nik ialah Ramlah, kakak Mat Nor dan Tamrin. Ramlah belajar dalam tingkatan enam dan selalu mengintai Ustaz Nik pulang dari surau.

Pucat

“Ha! Mengintai ustaz. Cakap ustaz." Mat Nor menjerkah Ramlah yang terhendaphendap di tingkap.

“Astaghfirullah. Hei!” Ramlah pucat dijerkah Mat Nor.

“Muka tak lawa nak ngurat ustaz.” Belum habis cakap Mat Nor telah dibaling oleh Ramlah dengan buku. Ramlah cukup sakit hati dengan Mat Nor yang suka ambil tahu dan suka mengadu itu. Mat Nor berlari sambil ketawa. "Tengok cerminlah dulu, keh keh. Nak ngurat ustaz konon. Muka macam buah sukun." Sakit hati Ramlah bagai meledak. Ingin sahaja ditenyehnya Mat Nor macam ibu melenyek pisang cokodok.

“Muka kau yang macam cokodok,” jerit Ramlah kepada Mat Nor.

Tetapi Mat Nor menjadi tidak faham apabila Ustaz Nik juga seperti ada hati dengan Ramlah. Setiap petang, balik dari sekolah agama, Ustaz Nik sengaja lalu di hadapan rumahnya. Kadang-kadang Ustaz Nik carinya, konon untuk berjalan sekali pulang ke rumah. Sedangkan Mat Nor tahu, jalan melalui rumah Mat Yamin lebih dekat untuk sampai ke rumah kakak Ustaz Nik.

Tetapi yang lagi Mat Nor tidak faham, sebaik sahaja lalu di hadapan rumah Ustaz Nik akan menunduk seperti hendak jatuh ke bumi wajahnya, walaupun Ustaz Nik tahu Ramlah sedang berada di jendela atau di hadapan pintu. Ustaz Nik tidak pernah pula berani melihat wajah Ramlah. Kadang-kadang Mat Nor berkata dalam hati, "Apalah bodoh ustaz ni, nak bercinta tetapi tidak tahu." Dan Mat Nor tergelak besar. Ramlah seperti biasa akan terlongo berkhayal tidak dapat buat kerja sepetang selepas melihat wajah Ustaz Nik.

Kemudian pada suatu hari tiba-tiba Ustaz Nik hilang dari daerah mereka. Kata kakaknya Ustaz Nik melanjutkan pelajarannya. Ustaz Nik juga beritahu mereka begitu sebelum dia pergi. Mereka berasa kehilangan Ustaz Nik. Bukan mereka sahaja tetapi semua penduduk daerah ini juga. Ramlah apatah lagi. Terperap di bilik sugul sepanjang masa. Lama Ustaz Nik hilang daripada hidup mereka. Hampir dua tahun. Tetapi ingatan mereka kepada Ustaz Nik seperti baru semalam. Kebaikan Ustaz Nik segar sepanjang masa.

Namun suatu hari, gunung berapi bagai meletus di daerah mereka. Ustaz Nik menjadi terkenal di seluruh dunia. Gambar Ustaz Nik terpampang di semua akhbar dunia. Ustaz Nik terbunuh kerana meletup diri dalam serangan berani mati yang memusnahkan kota New York. Serangan yang begitu terancang dan hebat itu telah melumpuhkan New York sama sekali. Ustaz Nik disyaki sebagai pemimpin serangan tersebut. Ustaz Nik mengetuai pasukan jihad yang terdiri daripada pelbagai bangsa untuk melancarkan serangan hebat itu.

Seluruh dunia termasuk pemimpin Islam mengutuk Ustaz Nik dan pasukannya. Ustaz Nik digambarkan sebagai pengganas yang jahat. Orang yang terkeluar dari Islam, sesat dan gila. Ustaz Nik dan sahabat-sahabatnya dicap sebagai pengganas yang paling jahat. Pemusnah dan pembunuh. Bahkan pemimpin-pemimpin Islam juga mencaci dan mencerca Ustaz Nik. Ustaz Nik dikatakan sebagai memalukan Islam. Tetapi mereka sendiri tidak pernah malu untuk menyembah Amerika Syarikat yang ternyata memijak dan membunuh umat Islam.

Mat Nor jadi bingung. Penduduk di daerah mereka diam dan tidak berani bercakap tentang Ustaz Nik. Tetapi mereka semua memberi simpati perlahan-lahan kepada kakak Ustaz Nik. Haji Salleh dan Ustaz Aziz diam-diam mengadakan tahlil untuk Ustaz Nik. Surau penuh bagai hendak roboh pada tahlil Ustaz Nik itu. Tapa Selut dan bapanya yang tidak pernah ke surau juga datang bertahlil di surau hari itu. Hari itu sungguh pilu. Ramai orang menitiskan air mata. Tapa Selut yang jahat itu pun boleh tersedu menangis. Mat Nor dan Tamrin apatah lagi. Semua kerana Ustaz Nik.

Ramlah menangis siang dan malam. Tamrin setiap detik memaki dan menghamun Amerika dan pemimpinpemimpin Islam yang dungu dan pengecut katanya.

Mat Nor benar-benar terasa kehilangan Ustaz Nik. Tetapi kenapa Ustaz Nik dipanggil pengganas dan dicerca semahunya di dalam akhbar dan televisyen? Ustaz Nik bukan pengganas. Amerika, Britain dan Yahudi lebih jahat. Mereka yang membunuh umat Islam sewenangnya. Ustaz Nik hanya membalas kerana mempertahankan Islam. Tetapi sebaliknya Amerika pula yang disanjung dan dihantar takziah. Ustaz Nik dicerca dan dihina dengan cebisan jenazahnya dipertontonkan ke seluruh dunia. Mat Nor jadi hairan mengapa pemimpin dan orang Islam begitu takut kepada Amerika hinggakan mereka kelihatannya lebih takutkan Amerika daripada Tuhan.

Kadang-kadang kerana hari-hari berita mengatakan Ustaz Nik sebagai pengganas, Mat Nor jadi keliru. Betulkah Ustaz Nik orang jahat? Mat Nor bingung dan keliru.

Setiap pagi hari cuti Mat Nor akan ke surau ketika tiada siapa di surau. Mat Nor akan duduk di sejadah imam tempat selalu Ustaz Nik memberi kuliah. Di atas sejadah Ustaz Nik itu Mat Nor membaca Al-Fatihah dan surah Yasin untuk Ustaz Nik. Suatu pagi air mata Mat Nor menitis dan tidak boleh meneruskan bacaan Yasinnya lagi, kerana Mat Nor terkenangkan suara lembut Ustaz Nik menegur bacaan Yasinnya dahulu. Mat Nor teresak-esak menangis memekup mukanya. Dalam pejam mata itu Mat Nor terasa cahaya yang sangat terang menyilau matanya. Mat Nor membuka mata, dan menyangka silau matahari dari tingkap. Tetapi bukan. Mat Nor kehairanan dan pelik.

Cahaya itu dari sejadah, betul-betul di tempat sujud Ustaz Nik.

Kini Mat Nor pasti, Ustaz Nik betul-betul orang baik.

No comments: